Saturday, August 27, 2016

Dalam Sujud CintaNya




Rasulullah SAW walaupun seorang insan yang maksum (suci dan terpelihara daripada melakukan dosa), Baginda tidak lupa untuk bersujud di malam hari mendamba cinta Ilahi hinggakan kakinya pecah-pecah kerana sering melakukan solat sunat malam.

Isteri Baginda SAW, Saidatina Aisyah r.a bertanyakan kepada beliau:

“Mengapa engkau melakukan ini wahai Rasulullah SAW, padahal Allah SWT telah mengampuni dosa-dosamu yang telah lalu dan yang kemudian?

Beliau menjawab: “Tidakkah aku harus menjadi hamba yang bersyukur?

[Hadis riwayat Bukhari dan Muslim]

Begitulah hebat kisah cinta Rasulullah SAW kepada Allah Azza Wajalla. Sebagai tanda syukur, beliau melakukan solat malam walaupun pada hakikatnya beliau seorang utusan Allah SWT yang sememangnya diampunkan dosa-dosa lalu dan terkemudian. Sedangkan kita manusia biasa yang terlalu banyak melakukan dosa dan selalu mendapat nikmatNya yang tidak terhitungkan, sangat malas untuk beribadat di siang hari, apatah lagi di malam hari.

Menulis tentang solat tahajjud, saya jadi teringat kisah Sultan al-Fateh – Sang Pembebas Kota Konstantinople. Mungkin anda selalu dengar kisahnya, dan mungkin juga ada yang tidak tahu. Kisahnya menarik untuk kita baca dan teladani.

Baiklah, suatu ketika selepas Sultan al-Fateh berjaya menakluki Konstantinople, sampailah waktu untuk bersolat kali pertama di situ. Tetapi timbul satu masalah, siapakah gerangan yang akan ditugaskan menjadi imam solat?

Lalu, Sultan Muhammad al-Fateh bertitah kepada tenteranya:

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggal solat fardhu setelah baligh, sila duduk.” Tidak ada seorang pun dalam ribuan tenteranya itu yang duduk. Maksudnya mereka tidak pernah meninggalkan kewajipan solat fardhu. Beginilah salah satu ciri sebaik-baik tentera Islam. Biarpun sibuk berjihad dan menyebarkan Islam ke serata dunia, mereka tak lupa untuk sujud mengadap Ilahi.

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat rawatib setelah baligh, sila duduk.” Sebahagian daripada tenteranya duduk.

Kemudian beliau bertanya lagi:

“Siapakah antara kamu yang pernah meninggalkan solat tajahud setelah baligh, sila duduk.”

Semua tenteranya duduk, dan yang tinggal hanya Sultan Al-Fateh sendiri. Ini bermakna hanya beliaulah yang layak menjadi Imam solat ketika itu.

Allahhu Rabbi, kalau nak dibandingkan dengan kita yang penuh lumpur dosa ini amatlah jauh sekali. Namun, sebagai seorang muslim lagi mukmin, apalah kiranya kita sama-sama bangun malam untuk bersolat. Kalaupun tak sempat setiap malam, seminggu sekali pun tidak menjadi kesalahan. Seminggu pun masih tak sempat, buatlah sebulan sekali. Tetapi janganlah sampai seumur hidup kita tak pernah bangun untuk solat malam.

InshaAllah, ayuh kita sama-sama buat. Nasihat ini, khusus ditujukan untuk saya sendiri dan umumnya untuk pembaca-pembaca yang sudi membaca tulisan ini.

No comments:

Post a Comment