Tuesday, August 9, 2016

Cerita Ayah Tentang Sekolah Pondok


Sumber gambar di sini


Cerita Ayah

"Mengaji pondok (agama) itu tak ada lain, hanya untuk baca doa kenduri kepala kambing." Kata seorang kawan. Telinga rasa berdesing mendengar perliannya.

Kata-kata itu telah berlalu 45 tahun dahulu. Namun begitu, selang tidak berapa lama, nada sinis itu kembali berulang semula, tetapi keluar dari mulut kawan yang lain pula.

"Dia ni, belajar di pondok nyamuk!" Kata kawan itu sambil menuding tepat ke arah saya. Rasa hina menyelubungi perasaan diri. Bertambah kerdil dan terhina tatkala saat itu kehidupan saya memang kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

'Sabar!' Pujuk hati sendiri. Hanya bersikap sabar sahaja mampu melawan gelora marah berbaur kecewa ketika itu.

Waktu itu, saya hanya menunggang basikal tua setiap minggu berulang-alik pulang ke kampung. Pun begitu, cita-cita murni di lubuk hati tidak pernah terpadam bahkan terus menyala-nyala untuk memburu kejayaan. Seminggu saya hanya ada RM5.00 sahaja untuk menampung perbelanjaan makan minum di tempat orang.

Saya terpaksa melupakan hasrat untuk mendengar ceramah-ceramah isu semasa memandangkan ketidakcukupan wang ringgit untuk ke sana ke mari sebagaimana rakan-rakan yang lain. Memang sinonim masyarakat pondok terlibat dengan parti politik khususnya pembangkang ketika itu. Kerana arus politik pembangkang yang mahu menegakkan Islam, maka pelajar pondok yang ternyata berkobar-kobar memperjuangkan Islam dengan mudah turut serta. Manakala saya, perlu berfikir lebih jauh demi mengelak keciciran wang ringgit dan akhirnya memaksa orang tua tidak susah hati di kampung. Sebab itulah, kadangkala saya dicop sebagai penyokong parti kerajaan. Sedangkan niat dihati lain bagai disangka.

Respon Cerita

Hakikatnya, persepsi orang terhadap sekolah pondok tetap sama seperti dahulu. Jangankan ayah, saya juga pernah mengalami nasib yang sama lebih kurang 18 tahun lalu ketika menginjak kaki ke Sekolah Agama.

Begitu juga ketika mahu berlepas melanjutkan pelajaran ke Mesir pada tahun 2006, acapkali terdengar bisikan-bisikan jahat dari mulut orang mengatakan bahawa belajar agama tidak mendatangkan masa depan yang cerah khususnya untuk mendapat pekerjaan kelak.

Saya bertekad, kerana pada fikiran saya ketika itu, bukan redha manusia yang dicari tetapi redha Allah SWT. Allah SWT yang memberi rezeki kepada hamba-hamba-Nya. Mak dan ayah selalu berpesan dengan kata-kata yang positif, dan itulah yang menjadi penguat semangat kepada saya waktu itu.

Kini, institusi sekolah agama dan pondok tetap sama - dianaktirikan. Sempat saya mengajar di sebuah Sekolah Tahfiz, nasibnya sama. Mahu bayar gaji kepada guru-guru juga masih mengharap belas ehsan sumbangan orang ramai. Hinggakan gaji guru terpaksa dibayar 2 kali sebulan kerana tidak cukup sumber kewangan. Walhal negara kita kaya, sumber zakatnya berlipat kali ganda, Baitulmal juga ada di mana-mana. Tetapi di mana silapnya?

Persoalan yang sudah ada jawapan, tetapi pelaksanaannya sahaja tidak menjadi.

Ku doakan, semoga Allah SWT meninggikan darjat dan kelebihan buat penyumbang sekolah-sekolah pondok dan sekolah agama seluruh negara. Amin.

No comments:

Post a Comment